اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرًا كَثِيْرًا وَجَزَاكُمُ اللهُ اَحْسَنَ الْجَزَاء

Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza’

“Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

Monday, 30 May 2011

Mencontohi dan mencintai Rasulullah SAW

Dulu semasa di semester 1, saya pernah diberi assigment tentang cara untuk mencintai Rasulullah SAW, dan apakah arti Islam itu sendiri ?..melihat pada soalan ini memang agak berat dan lama juga aku mencari bahan, isi dan melayari ruangan2 blog, artikal dan macam2 cara lagi...akhirnye siaplah assigment tu dalam tempoh yang dikehendaki....kenapa saya ceritakan ini semua...ini adalah kerana saya ingin berkongsi sedikit ilmu dan maklumat tentang persoalan yang telah saya laksanakan jawapannya huraiannya agak panjang tapi harap ia boleh dimanfaatkan....mari kita hayati bersama2 k...

ISLAM merupakan agama yang universal dan syumul (lengkap) yang mencakupi segala hal ehwal manusia seperti ibadat, munakahat, jenayah, muamalat dan sebagainya. Kesyumulan Islam tidak dapat diragui kerana manusia yang bertanggungjawab atas penyebaran Islam ini iaitu Nabi Muhammad bin Abdullah ini diiktiraf oleh semua manusia termasuklah sarjana Barat, tokoh-tokoh agama Islam, Yahudi, Kristian dan sebagainya.
The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, buku yang mendapat tempat di hati masyarakat dunia yang ditulis oleh seorang penulis Barat bernama Michael Hart yang mana telah menempatkan Nabi Muhammad SAW di rangking pertama manusia yang sangat berpengaruh di muka bumi ini.
Michael Hart juga memperakui bahawa tiada yang setanding dengan Nabi SAW kerana yang dapat mempengaruhi umat manusia dari semua sudut termasuklah keperibadian, tingkahlaku, akhlak dan sebagainya.
Nabi Muhammad sangat sinonim dengan panggilan Rasulullah SAW yang mana bermaksud pesuruh Allah atau The Savior of Humanity (penyelamat manusia sejagat).


Keperibadian Rasulullah

Keunggulan keperibadian Rasulullah tidak dapat disangkal oleh mana-mana individu di atas dunia kerana Baginda SAW mempunyai keperibadian yang sangat mulia dan merupakan contoh tauladan kepada semua manusia sejagat.
Allah menukilkan dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu tauladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
Rasulullah merupakan anak kelahiran bumi Mekah pada 12 Rabiulawal tahun Gajah yang mana pada ketika itu suasana di tanah Arab merupakan zaman kegelapan jahiliah.
Umat manusia sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup seperti yang pernah dilakukan oleh Khalifah kedua Islam Saidina Umar Al-Khatab pada zaman jahiliahnya.
Penyembahan berhala-berhala seperti al-Lata, al-Uzza, Manat dan Wadda Suwaa berleluasa di muka bumi Arab ketika itu. Selain itu kaum-kaum wanita ditindas dan dihina sehina mungkin kerana mereka adalah kaum 'wanita' yang dikatakan memalukan keluarga.
Selepas kelahiran Rasulullah pancaran cahaya hidayah memancar jelas dimuka bumi Mekah tetapi tidak dipedulikan oleh umat manusia pada ketika itu kecuali sedikit. Tetapi dengan ketabahan dan kesabaran Rasulullah telah mencipta sejarah baru manusia yang mana keadaan masyarakat yang hina diangkat setinggi-tingginya dengan agama Islam.
Ketabahan Rasulullah merupakan ketabahan yang luar biasa kerana Baginda SAW diuji dengan pelbagai dugaan, rintangan, halangan, ancaman, cubaan dan sebagainya.
Sejak kecil, Baginda SAW diuji apabila dilahirkan dalam keadaan anak yatim yang kematian bapanya sewaktu baginda dalam kandungan bondanya dua bulan. Bukan itu sahaja pada usia 6 tahun, Nabi sekali lagi diuji apabila bonda yang disayangi menyahut panggilan ilahi.
Si anak yatim yang bernama Muhammad bin Abdullah ini meneruskan perjalanan hidup Baginda SAW dengan ketabahan yang tinggi. Sikap ketabahan Rasulullah dalam menyebarkan panji-panji dakwah Islam ini adalah pada ketika baginda ke Taif yang mana Rasulullah dihina dengan cacian dan dibaling batu sehingga luka dibadan Baginda. Namun, demi perjuangan menyebarkan Islam, Rasulullah tabah kerana Baginda SAW berpandangan jauh dalam berdakwah.
Satu kisah yang sangat menyayat hati apabila ada seorang wanita yang sangat benci kepada Baginda. Apabila sahaja melihat Rasulullah lantas wanita itu mengambil penyapu lalu memukul Baginda. Rasulullah tetap tidak melawan tetapi membalas pukulan tersebut dengan senyuman dan salam.

Suatu hari wanita tersebut tidak melakukan perkara yang sama sehingga Rasulullah berasa pelik. Jiran-jiran menyatakan pada Baginda bahawa wanita itu sakit dan tidak kuat untuk bangun.
Sebaik sahaja mendengar perkara tersebut Baginda terus masuk ke dalam rumah wanita itu dan melakukan kerja-kerja rumah.
Wanita itu begitu hairan melihat perangai Rasulullah yang sudi membantunya meskipun dia sangat benci terhadap Rasulullah. Selepas peristiwa tersebut maka hati wanita itu telah tertawan dengan keperibadian Baginda lantas memeluk Islam.
Ini merupakan satu contoh keperibadian Baginda yang sukar ditandingi. Jika pada zaman moden ini seseorang dihina dan dimaki dengan kesat, balasannya adalah dengan perbuatan yang sama iaitu memaki hamun dengan bahasa yang kesat juga dan agak mustahil membalas kejian sedemikian dengan pujian.
Dari sudut kekeluargaan Baginda SAW merupakan seorang suami yang bertanggungjawab, seorang ayah dan datuk yang amat penyayang terhadap anak-anak dan cucu-cucunya. Dalam soal muamalat, Baginda amanah apabila diberikan tanggungjawab sebagai contoh Rasulullah pernah berkhidmat dengan Khadijah dalam hal perniagaan sehingga ke negeri Syam.
Amanahnya Rasulullah membuatkan Khadijah tertawan hati dengan Baginda dan sudi menjadi ratu bidadari di hati Rasulullah dengan menghantar orang melamar Baginda.
Sifat-sifat baginda ini telah terpahat kukuh di hati umat Islam iaitu sifat siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Sifat-sifat inilah yang mencerminkan nilai keperibadian Rasulullah yang sukar dicari ganti.
Maulidur Rasul yang kita sambut setiap kali 12 Rabiulawal bukanlah hanya sebagai satu perkara ritual sahaja tetapi merupakan salah satu langkah untuk terus memperingati sejarah Nabi dalam menempuh liku-liku kehidupan sehingga Islam tersebar luas dan tertegak kukuh di atas muka bumi ini.
Pengisytiharan cuti umum oleh kerajaan Malaysia merupakan satu langkah yang sangat bijak. Ini kerana dengan cuti umum inilah masyarakat Malaysia harus disedarkan dengan pengkoreksian sejarah kehidupan Baginda seperti ceramah-ceramah, forum, perarakan yang berorientasikan memperingati Rasulullah dengan selawat dan salam, dokumentari tentang kehidupan Rasulullah berkenaan perkara-perkara yang mempunyai tujuan memperingati Rasulullah.
Persatuan Mahasiswa Akademi pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) menyatakan seluruh umat Islam harus terus memperingati Rasulullah setiap detik dan saat, melaksanakan apa yang disarankan dan mengambil iktibar dan tauladan kehidupan Baginda SAW.

No comments: